Thursday 30 May 2013
Wednesday 29 May 2013
KERJA KURSUS 1.2
i)
Sila
terangkan tentang kaedah lakonan Brechtian yang ditegaskan dalam teater epik.
Kaedah
lakonan Brechtian dinamakan sebagai Epic Theatre
kerana ia bersifat berepisod. Setiap babak akan memaparkan cerita yang
berlainan, tetapi apabila digabungkan akan membentuk sebuah cerita. Selain nama
Epic Theatre, kaedah lakonan
Brechtian juga turut dikenali sebagai Dialectic Theatre
kerana dalam pementasan-pementasan yang beliau lakukan banyak
memaparkan perbahasan antara dua pihak yang saling cuba untuk mempengaruhi
antara satu sama lain.
Teater
Epik bertujuan sebagai sebuah pementasan yang dijalankan untuk mempersembahakan
idea-idea dan penonton harus menilai idea-idea tersebut. Oleh itu pementasan
yang diadakan tidak boleh menyebabkan penonton hanyut dengan emosi yang
dipaparkan dalam sebuah pementasan. Brecht menjelaskan bahawa para penonton
perlu sedar bahawa mereka sedang menonton sebuah pementasan dan tidak boleh
beremosi, sebaliknya berfikir secara kritikal akan mesej yang ingin disampaikan
dalam pementasan itu dan melaksanakan perubahan apabila keluar dari pementasan
tersebut. Menurut beliau, semua ini boleh dicapai sekiranya para penonton diasingkan
daripada pementasan yang ditontonnya. Brecht telah menamakan keadaan ini
sebagai Verfremdungseffekt yang
diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai alienation
effect ataupun kesan pengasingan.
Perkataan
Verfremdungseffekt merupakan perkataan
Jerman yang bermaksud ‘mengasingkan’
atau ‘menjauhkan’ penonton
daripada sesebuah pementasan. Dalam teater epik , Brecht cuba
mengasingkan penonton daripada watak-watak dan lakonan mereka dalam sesebuah
pementasan. Dengan cara ini, para penonton tidak akan tersentuh dengan
pementasan tersebut serta tidak bersimpati mahupun berempati dengan apa
yang dipaparkan. Sebaliknya, beliau mahu para penonton untuk memahami secara
intelektual dilema yang dihadapi oleh sesebuah watak serta kesilapan yang
telah dibuat yang membawa kepada berlakunya dilema tersebut.
Bagi mencapai matlamat yang telah dinyatakan oleh Brecht, terdapat pelbagai
lagi teknik yang digunakan supaya penonton terasing daripada pementasan. Di
antaranya adalah dengan meletakkan sesi memberi keterangan di dalam sesuatu
persembahan di samping wujudnya pencerita untuk menjelaskan setiap babak serta memprovokasi
penonton. Selain itu, terdapat teknik yang memerlukan pelakon berinteraksi
terus dengan penonton agar penonton terasing dari lakonan pelakon serta
pementasan yang disaksikan. Terdapat juga teknik Brecht yang memerlukan para
pelakon melakonkan sesebuah watak tanpa menyebabkan penonton mahupun diri
mereka sendiri percaya bahawa mereka adalah watak tersebut. Tujuan
utama lakonan sebegini adalah untuk meruntuhkan dinding keempat dalam
sesebuah lakonan. Ini adalah bagi membolehkan penonton
melihat dan menyedari bahawa mereka sedang menonton pementasan, bukan
realiti dan menganggap bahawa pentas adalah pentas dan pelakon adalah sekadar pelakon.
Dalam
teater epik, Brecht turut menegaskan tentang istilah ‘gestus’. ‘Gestus’
bermaksud apa sahaja pergerakan yang dilakukan oleh pelakon
di dalam lakonannya bagi menggambarkan keadaan sesebuah watak
berdasarkan teks. ‘Gestus’ boleh menerangkan keadaan pelakon tanpa memerlukan
pelakon menunjukkan emosi seterusnya menyebabkan penonton terasing daripada
pementasan dan mengelakkan mereka daripada menjadi emosional. Pendapat ini
adalah berdasarkan pemerhatian Brecht terhadap pementasan Opera Cina di mana
pelakon meletakkan rambut di mulut dan penonton telah mentafsirkannya sebagai
ketakutan walaupun pelakon itu sedang bergerak di dalam keadaan yang tenang.
ii)
Sila
terangkan tentang kaedah lakonan Biomekanik yang ditegaskan oleh pengasasnya.
Kaedah
lakonan Biomekanik diasaskan oleh Vsevolod Meyerhold. Idea-idea
pementasan beliau menolak realism Stanislavsky 100% dari segi lakonan,
pengarahan dan sinografi. Idea grotesque yang dicadangkan oleh Meyerhold
mengatakan bahawa seseorang pengarah itu melihat sesuatu yang aneh, pelik,
bukan-bukan, tidak masuk akal itu sebagai sesuatu yang cantik kerana baginya,
sesuatu persembahan pentas itu bukanlah re-presentational tetapi bersifat
presentational. Meyerhold mengatakan bahawa sesuatu persembahan itu tidak perlu
mengikut dan menyamai realiti kehidupan kini malah perlulah berbeza. Oleh itu, idea grotesque
diadaptasikan ke seluruh idea yang dibuat oleh Stanislavsky sebelum ini.
Grotesque dalam bahasa Melayu bermaksud aneh,
bukan-bukan atau tak masuk akal. Sebagai contoh yang lebih jelas adalah melihat
kepada gerak lakonan yang lebih dikenali sebagai biomekanik. Pelakon-pelakon yang biasanya berlakon
di bawah arahan Meyerhold adalah atlet, penari, ahli sarkas, ahli magik dan
sebagainya. Mereka semua mempunyai skill dengan tubuh mereka dan Meyerhold
telah memanipulasikan pergerakan tubuh mereka untuk mencipta satu bentuk gaya
lakon yang menolak realism ketika itu. Oleh itu, kita tidak akan dapat melihat
sesuatu watak yang mengaplikasikan teknik lakon Meyerhold bergerak seperti
realiti. Pergerakannya akan nampak pelik tetapi aksi tersebut masih boleh ditafsir
oleh penonton. Sebagai contoh, Charlie Chaplin adalah pelakon yang
mengaplikasikan teknik lakon biomekanik. Katakan adegan Chaplin diketuk
kepalanya dengan objek keras, dia akan terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan
dalam pergerakan yang besar (exaggerate). Aksi ini dianggap ganjil
(grotesque) bagi manusia nyata (real) tetapi dianggap sesuai dengan
teknik lakon yang dikemukakan oleh Meyerhold.
(Antara
adegan di dalam teater arahan Meyerhold. Dapat dilihat aksi pelakon yang
menggunakan seluruh anggota badan untuk menjelaskan aksi dan watak)
Dari segi
set pula, Meyerhold mula melakukan eksperimentasi terhadap visual-visual ketika
itu. Oleh sebab zaman kegemilangan Meyerhold adalah pada zaman industrial,
banyak pengaruh imej-imej kilang dan mesin di dalam persembahannya.
(set Magnanimous Cuckold yang sebenar. Kombinasi
kepelikan set dan aksi lakon dapat dilihat dalam gambar ini. Semuanya dilihat
pelik dan aneh bagi seorang realist)
Idea
mengenai grotesque adalah kesan dari lawatan kawan Meyerhold dari Jepun yang
membuat persembahan Kabuki di Rusia. Hanya selepas 7 tahun lawatan orang Jepun
itu, barulah terciptanya teknik lakon yang pelik itu dan memerlukan kemahiran pergerakan tubuh badan.
Teknik lakon itu sendiri sudah wujud tetapi dicetuskan oleh Meyerhold dengan terma biomekanik. Stanislavsky
pernah berkata selepas dia menonton salah satu persembahan Meyerhold yang agak luar
biasa pada ketika itu. Beliau berkata, “Meyerhold telah melakukan apa yang saya
nak lakukan sebelum ini”. Teaternya dikira sebagai avant garde oleh kebanyakan penggiat teater ketika itu.
Stanislavsky sendiri kagum serta berhasrat untuk melakukan teater seperti
Meyerhold tetapi tidak berpeluang.
Grotesque diaplikasikan di dalam banyak persembahan
teater di Malaysia terutama yang berbentuk eksperimen. Kebanyakannya
diaplikasikan melalui sinografi tetapi kurang diaplikasikan melalui gaya
lakonan. Untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang teknik lakon Meyerhold,
lakonan Charlie Chaplin boleh dijadikan sebagai rujukan. Beliau merupakan salah
seorang pelakon yang mengaplikasikan biomekanik, inspirasi dari grotesque. Pergerakan biomekanik
membantu perkembangan kekuatan, koordinasi dan fleksibiliti. Mayerhold banyak
menggunakan artis yang terdiri daripada ahli sukan kerana, latihan lakonan
bukanlah berasaskan kaedah-kaedah lakonan sahaja malah memerlukan latihan bagi
tubuh badan atau “teaching the body to
think”. Biomekanik juga merupakan lakonan yang menuntut pelakon
menggunakan badan sebagai bahan pengantara dengan penonton. Penonton lebih
menumpukan kepada pergerakan badan bagi menyampaikan mesej di dalam lakonan.
Teater yang berunsur biomekanik mempunyai dialog yang kurang tetapi pelakon
harus mempamerkan bahasa badan yang jelas kepada penonton.
iii) Sila
terangkan 2 teknik Stanislavski yang diperkenalkan dalam membina teknik lakonan
secara representational atau living a
part dalam konteks lakonan realisme.
Stanislavski
berpendapat bahawa lakonan
representational memerlukan dedikasi, kajian terperinci dan penilaian
teliti terhadap pembinaan watak. Pelakon tidak harus berada di luar watak
sebagai pemerhati tetapi harus berada di dalam watak dan merasai apa yang
dirasainya, ketawa apabila dia ketawa dan menangis apabila dia menangis.
Kemudian, apabila watak sudah dicipta, pelakon akan memisahkan dirinya dari
watak tersebut dan setiap kali beliau diminta membawa watak itu, beliau akan
mempamerkan perwatakan tersebut sebagaimana yang telah diciptakan sebelumnya.
Stanislavski tidak percaya
bahawa seseorang aktor itu akan mempercayai seikhlas-ikhlasnya terhadap realiti
peristiwa yang berlaku di atas pentas, tetapi beliau berkata bahawa seseorang
aktor itu boleh percaya terhadap kemungkinan-kemungkinan peristiwa yang berlaku.
Dengan ini, timbullah teknik magic if dalam
membina lakonan secara representational. Seseorang pelakon cuma harus mencuba
menjawab soalan “apakah akan aku lakukan kalau aku....?”. Sematan dijiwa
pelakon dengan kata-kata magik “if”
ini akan menjelaskan matlamat atau tujuan perwatakan kepada matlamat dan tujuan
pelakon. Ianya merupakan rangsangan yang kuat ke arah aksi-aksi dalaman (emosi)
dan fizikal bagi seseorang pelakon. Perkataan if juga membawa pelakon kepada keadaan-keadaan imaginary.
Pertanyaan “Apakah yang akan aku lakukan kalau aku ……”(What would I do if I were) bagi seseorang pelakon tidak perlu memaksa
dirinya untuk percaya beliau adalah manusia tersebut di dalam situasi demikian.
Ringkasnya, method “If” adalah saranan dan bukanlah melibatkan atau
menegaskan sesuatu terhadap apa yang sedia ada. Melaluinya, pelakon akan
mencipta masalah-masalah untuk dirinya dan berusaha untuk menyelesaikannya
secara natural ke arah aksi-aksi dalaman dan luaran. Penggunaan method “if” ini akhirnya akan memberi rangsangan
kepada imaginasi, pemikiran dan aksi-aksi ke arah logikal. Ini bermakna
aksi-aksi yang dizahirkan bersifat natural berserta emosi yang sebenar.
Teknik
kedua yang diperkenalkan oleh Stanislavski adalah penggunaan method imaginasi. Menurut
beliau, method imiginasi perlu dilaksanakan ekoran penulis skrip drama kurang
memperjelaskan masa lalu dan masa depan watak-wataknya serta kurang memberi
perincian kehidupan masa kini watak-watak tersebut. Method imaginasi ini mampu
membantu seseorang pelakon melengkapkan biografi wataknya dari awal hingga
akhir di dalam mindanya. Ini bermakna melalui latihan method imiginasi,
seseorang pelakon dapat mengetahui atau merasakan perkara yang dilalui oleh watak tersebut sehingga
akhirnya memberikan pelakon perspektif dan perasaan berkaitan peranan watak
tersebut.
Imiginasi yang kaya akan membantu seseorang pelakon
semasa beliau mentafsirkan baris-baris dialog dan mampu mengisinya dengan
makna-makna yang tersirat atau lebih tepat memahami subteksnya. Apa yang disimpulkan
disini, baris-baris dialog yang dihasilkan oleh penulis adalah tidak bernyawa
dan kaku sehinggalah seseorang pelakon berupaya menganalisa dan menampilkan
maksud yang dikehendaki oleh penulis. Sebagai contohnya, frasa yang mudah
seperti, “saya sakit hati”, mempunyai
berlainan maksud. Ringkasnya, sekiranya para pelakon mempraktikkan latihan daya
imiginasinya, mereka akan menemui makna yang menarik di sebalik perkataan yang
terucap. Lantas intonasinya juga akan menjadi lebih menarik dan ekspresif.
Tuesday 28 May 2013
KERJA KURSUS 1.1
i)
Sila
jelaskan apakah itu lakonan improvisasi dalam teater tradisional Melayu
berasaskan pandangan Profesor Dr Samad Salleh dalam bukunya Aspek Lakonan dalam
Teater Bangsawan terbitan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan KeKKWa
Kuala Lumpur.
Di Malaysia, improvisasi di dalam teater
telah lama diamalkan. Teater tradisional tempatan sememangnya kaya dengan
improvisasi. Teater seperti Mak Yong, Menora, Mek Mulung dan Dondang Sayang kesemuanya
berasaskan improvisasi disebabkan teater-teater tersebut tidak mempunyai
sebarang skrip atau naskhah. Keadaan masyarakat dahulu yang terdiri daripada
golongan buta huruf atau ketiadaan alat-alat percetakan memungkinkan berlakunya
improvisasi di dalam teater tradisional.
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, improvisasi bermaksud perihal
atau perbuatan melaksanakan atau membuat sesuatu tanpa persediaan awal, secara
spontan atau dengan menggunakan bahan-bahan yang ada sahaja. Walaubagaimanapun,
Abdul Samat Salleh telah menghimpunkan beberapa definisi improvisasi menurut
pengkaji-pengkaji teater Barat di dalam bukunya ‘Aspek Lakonan Dalam Teater
Bangsawan’. Antaranya adalah seperti berikut :
Pengertian improvisasi lebih mengutamakan penghasilan aksi secara spontan berdasarkan watak, tempat dan aksi. Definisi ini hampir menyamai apa yang disarankan oleh Bowskill. Baginya, improvisasi bermakna menggubah, membaca atau mengucap atau melakukan sesuatu tanpa persiapan. Perlakuan yang dihasilkan secara tiba-tiba, secara bebas dan bersahaja (Bowskill, 1973 : 59). Manakala Cohen (1984 : 68) pula mendefinisikan improvisasi yang menjuruskan kepada mempertajamkan watak dan perwatakan. Beliau berpendapat, improvisasi merupakan latihan-latihan di mana para pelakon melakonkan peranan-peranan mereka mengimprovise dialog-dialog dan pergerakan tanpa bergantung kepada teks yang dihafal. Baginya latihan merupakan cara yang paling baik untuk menyerapkan pelakon dengan situasi adegan dan mempertingkatkan intensity pertalian perwatakan tanpa memperdulikan plot atau development watak yang dibekalkan oleh skrip. Crawford (1983 : 55) pula akur dengan definisi-definisi yang lain tetapi lebih mengutamakan daya imaginasi dan skrip. Improvisasi itu berimaginasi dan mencipta plot atau cerita yang ringkas dan melaksanakannya dengan dialog dan aksi-aksi yang tidak dirancang dan yang tidak rehearsed. Beliau menambah, improvisasi merupakan latihan-latihan berdasarkan adegan berskrip tetapi lebih tertumpu kepada subjeknya, isunya, tujuannya, dan maksud adegan tersebut di samping mengimaginasikan dan menciptakan aksi dan dialog dan cuba mengelak daripada menggunakan aksi-aksi dan dialog-dialog penulis.
Dengan
ini, dapat disimpulkan bahawa improvisasi di dalam teater merupakan satu teknik
atau bahan di mana pelakon akan memperkembangkannya melalui imaginasi mereka
sendiri. Hasil daripada improvisasi akan menggalakkan penciptaan imej-imej baru
di samping membolehkan para pelakon menzahirkan lakonan yang tidak terikat
dengan rangka-rangka tertentu kerana lakonan ialah menjadikan sesuatu itu
berlaku pada ketika atau detik yang sepatutnya berlaku.
ii)
Berdasarkan
kaedah lakonan improvisasi yang dinyatakan oleh Profesor Dr Samad Salleh, sila bincangkan
teknik lakonan improvisasi ini dalam konteks persembahan Mak Yong yang telah
anda langsungkan dalam persembahan.
Di dalam persembahan Mak Yong yang telah berlangsung
pada 16 Mei yang lalu, kaedah lakonan improvisasi seperti yang dinyatakan oleh
Profesor Dr Samad Salleh telah diaplikasikan. Kaedah improvisasa ini merangkumi
kesemua aspek lakonan seperti fizikal, lisan dan mental. Aspek fizikal meliputi
gerak isyarat, gerak tari (menhadap rebab) dan beberapa pergerakan lain yang
dizahirkan oleh tubuh badan sepanjang lakonan. Aspek lisan pula merangkumi
pengucapan dialog, nyanyian, bersyair dan monolog manakala aspek mental pula
menjurus kepada setiap perlakuan yang dicetuskan sama ada fizikal, lisan atau
emosi.
Walaubagaimanapun,
setiap improvisasi yang dilakukan itu bermula daripada jalan cerita yang
dibekalkan oleh pengarah. Berdasarkan senario dan watak dan peranan yang
dipegang, saya telah mengimprovisasikannya hingga ke akhir cerita dan sentiasa
memastikan agar ia tidak bercanggah dengan jalan cerita serta peranan watak.
Saya turut memastikan agar segala aksi fizikal haruslah bersebab dan
berhubungkait dengan pengucapan dialog contohnya tindak balas pengucapan di
antara saya dan pelakon lain. Hal ini akan membuatkan perkembangan cerita
kelihatan lebih jelas.
Selain
itu, beberapa keperluan untuk melakukan teknik improvisasi perlu diambil kira
di dalam persembahan ini. Antaranya ialah pengamatan, daya sensitiviti, daya
konsentrasi dan imaginasi. Pengamatan yang teliti memudahkan saya memilih ciri-ciri
perwatakan yang terbaik dan bersesuaian dengan watak, adegan dan cerita yang
dibawa agar dapat meyakinkan penonton dengan improvisasi yang telah dilakukan.
Daya sensitiviti yang paling optima pula diperlukan kerana daya sensitiviti yang kuat mampu membantu saya
berinteraksi atau memberi reaksi dengan cepat dan tepat terhadap pelbagai
suasana di dalam cerita.
Imaginasi juga tidak kurang pentingnya
sewaktu melakukan improvisasi agar saya dapat meneroka dunia ilusi yang dialami
dalam jalan cerita, watak dan peranan yang telah diberikan. Dengan ini, saya
dapat menzahirkan watak yang benar-benar meyakinkan dan berkesan walaupun
melalui imaginasi sahaja. Keperluan seterusnya ialah daya konsentrasi terhadap
keseluruhan cerita termasuk aksi dan pengucapan dialog oleh pelakon-pelakon
lain. Konsentrasi yang menyeluruh membolehkan saya memberi tumpuan yang total
terhadap watak saya seterusnya menjadikan saya peka dengan perkembangan jalan
cerita.
Sepanjang penglibatan di
dalam persembahan teater Mak Yong ini, saya turut melakukan improvisasi dalam
penggunaan vokal iaitu semasa mengucapkan dialog. Saya harus cepat bertindak
mengeluarkan kata-kata yang bertepatan dengan adegan, babak atau cerita menurut
latar masa dan tempat yang telah ditetapkan. Contohnya, di dalam teater Mak
Yong ‘Anak Raja Gondang’, latar tempatnya adalah istana dan kebanyakan gaya
bahasa yang digunakan adalah bahasa istana yang puitis. Oleh itu, kecepatan
berfikir, kepetahan berkata dan menyusun kata dapat memadatkan rangka cerita
yang ada.
Thursday 3 January 2013
ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 4
2.2 Bincangkan komponen-komponen yang telah disarankan oleh Joseph Gonzales dalam membina sesebuah koreografi dengan berpandukan tugasan secara solo dan duo yang telah anda laksanakan dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater yang lalu.
Dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater, saya telah melakukan dua persembahan iaitu persembahan berbentuk solo dan duo. Kedua-dua persembahan ini memerlukan pembinaan koreografi. Joseph Gonzales selaku koreografer tarian telah menyarankan proses penghasilan karya ini berdasarkan beberapa komponen seperti yang telah dibincangkan di atas iaitu dinamik, ruang, aras, bentuk tarian, tema, muzik, sinografi, impak artistik dan improvisasi.
Persembahan solo yang lalu bertemakan kisah seorang gadis kecil yang merasa sunyi dalam mengharungi kehidupannya. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan luahan perasaaan gadis tersebut. Bagi menyokong tema ini, pemilihan muzik, sinografi dan impak artistik hendaklah bersesuaian agar sebarang bentuk komunikasi dapat diterjemahkan dalam bentuk persembahan dengan tepat. Muzik yang digunakan adalah lagu Mirae nyanyian Kiroro manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan make-up yang menonjolkan impak mimik muka sedih dan kecewa. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan, kotak dan bantal peluk disokong dengan pencahayaan yang suram dan kostum baju tidur kanak-kanak telah menjelaskan identiti watak yang dibawa serta situasi yang sedang dialami bagi mengukuhkan penceritaan melalui pergerakan ini. Seperti biasa, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di dalam dan luar jaringan berbentuk segitiga serta di atas kotak manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berguling di luar jaringan segitiga, sederhana ketika bergerak di antara ruang jaringan segitiga dan tinggi sewaktu saya berdiri di atas kotak yang dijadikan set. Bentuk tari pula melibatkan pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, berlari, berguling dan melompat secara berselang seli untuk menginterpretasi perasaan sunyi, kecewa dan rindu yang dialami supaya dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi.
Persembahan duo yang lalu adalah gabungan antara saya dan Siti Nur Ain. Persembahan ini bertemakan kehijauan alam yang kian hilang dek pencemaran serta lambakan sampah yang berlaku. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan pergelutan sepohon pokok dalam mencari udara segar bagi menerukan kehidupan di samping lambakan sampah yang semakin meningkat. Dalam persembahan duo ini, muzik yang digunakan adalah lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan kostum kami yang menggunakan plastik sampah, surat khabar, kain dan botol kosong. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan segi tiga, kotak, tangga serta lapisan plastik yang lebar dibantu oleh pencahayaan yang suram telah menjelaskan situasi serta mengukuhkan penceritaan yang ingin disampaikan. Selain itu, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di atas kotak, atas tangga serta di bawah lapisan plastik yang manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berada di bawah lapisan plastik sambil membuat pergerakan simbolik membuang sampah sarap, aras sederhana ketika bergerak menuruni tangga dari atas kotak ke lantai dan aras tinggi sewaktu saya berada di atas kotak yang dijadikan set persembahan. Memandangkan persembahan ini berbentuk duo, bentuk tari melibatkan interaksi antara saya dan Ain di mana pergerakan yang dilakukan adalah simbolik mengancam pokok yang dibawa olehnya sebagai props dalam persembahan ini. Pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, merangkak dan berguling turut digunakan untuk menginterpretasi ancaman dan kesan lambakan sampah terhadap hidupan selain dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi bagi persembahan duo ini.
ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 3
2.1 Jelaskan penciptaan asas koreografi pergerakan kreatif teater berdasarkan pendekatan yang disarankan oleh Joseph Gonzales dalam bukunya : Choreography : A Malaysia Perspective : (2004). Kuala Lumpur. Pustaka Cipta Sdn. Bhd.
Menurut Kamus Dwi-bahasa Oxford Fajar, Edisi Kedua : Halaman 65, perkataan Choreography bermaksud seni reka tari. Dengan ini, koreografi dapat diterjemahkan sebagai perancangan atau penciptaan bagi satu struktur pergerakan atau tarian.
Dr. Joseph Gonzales yang merupakan seorang koreografer dan penulis buku Choreography : A Malaysia Perspective telah menyatakan di dalam bukunya bahawa koreografi merupakan keseluruhan struktur karya yang akan dipersembahkan merangkumi frasa pergerakan dan semua faktor lain. Struktur karya ini juga adalah sesuatu yang boleh dianalisis dari jauh. Walaubagaimanapun, seorang koreografer perlu menitiberatkan sembilan elemen utama dalam sesebuah persembahan iaitu dinamik, ruang, aras, bentuk tarian, tema, muzik, sinografi, impak artistik dan improvisasi.
Dinamik merujuk kepada aliran tenaga dan pergerakan dalam koreografi tarian manakala aras akan membantu dalam melihat kepada binaan koreografi. Permainan ruang akan membantu dalam memperlihatkan kepelbagaian pola lantai serta mencipta dimensi dalam sesebuah koreografi. Bagi bentuk tarian pula, ia menggabungkan gaya dan teknik pergerakan dalam koreografi manakala tema dalam sebuah persembahan adalah berkisar tentang kemanusiaan, isu semasa, sejarah dan macam-macam lagi. Elemen muzik, sinografi dan impak artistik pula merupakan pendekatan pergerakan kreatif yang boleh menjelaskan simbolik pergerakan dalam menyampaikan interpretasi idea. Akhir sekali adalah improvisasi yang bermaksud penambahbaikan dimana melalui proses ini binaan koreografi boleh disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk.
Tuesday 1 January 2013
ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 2
1.2 Bincangkan elemen,elemen dari aspek ruang, masa dan aliran kedua-dua konsep pergerakan ini melalui gerak kreatif yang telah anda persembahkan dalam tugasan “outdoor” showcase yang telah anda langsungkan di Pintu Timur, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang lalu.
Tugasan “outdoor” showcase bagi kursus ini telah berlangsung di Pintu Timur, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Persembahan gerak kreatif ini merupakan persembahan individu yang bertemakan protes tentang lambakan sampah sarap yang semakin menjadi-jadi pada masa kini. Mesej yang ingin disampaikan adalah supaya manusia sedar bahawa situasi seperti ini dapat dikurangkan andai mereka prihatin dengan kitar semula dan guna semula.
Di dalam persembahan ini, aspek pergerakan seperti ruang, masa dan aliran diterapkan (merujuk kepada analisis pergerakan Laban). Ruang ialah kawasan yang digunakan semasa melakukan pergerakan. Ia terbahagi kepada dua iaitu ruang diri dan ruang am. Ruang diri ialah ruang setempat yang mengelilingi individu sejauh mana yang boleh dicapai oleh bahagian tubuh badan. Ruang am ialah kawasan yang digunakan secara keseluruhan semasa melakukan pergerakan. Semasa persembahan berlangsung, ruang am saya adalah sepanjang kaki lima berdekatan pondok pengawal dan ruang menunggu bas pelajar KHAR. Pergerakan yang dilakukan mencakupi elemen aras yang pelbagai iaitu rendah, sederhana dan tinggi serta aliran lurus dan bulatan sewaktu pergerakan simbolik memungut dan membawa karung sampah. Selain itu, pergerakan ke arah hadapan dan ekstensi tubuh seperti mengecil dan membesar digunakan sebagai simbolik pemberontakan dan kebencian kepada sampah-sarap.
Aspek masa merujuk kepada pergerakan yang boleh dilakukan dengan pelbagai kelajuan seperti cepat, lambat dan serta merta. Kelajuan sesuatu pergerakan ditentukan dengan keadaan ruang yang ada seperti ruang diri, ruang am dan ruang yang dilengkapi dengan alat-alat. Selain itu, jangka masa juga akan membantu dalam memberikan kesan dinamik dalam persembahan tari. Memandangkan persembahan yang dilakukan melibatkan jangkamasa yang agak lama iaitu 30 minit, kelajuan pergerakan yang banyak digunakan adalah pergerakan lambat. Namun pergerakan serta merta masih diselitkan bagi mewujudkan dinamik dalam persembahan ini.
Aspek aliran merupakan beberapa pergerakan yang dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Rangkaian ini boleh dilakukan secara aliran bebas dan aliran terikat. Aliran bebas adalah pergerakan yang dilakukan dalam masa yang singkat. Pergerakan ini cepat, tegas, spontan dan dinamik manakala aliran terikat pula adalah pergerakan yang perlahan, mengambil masa dan dapat dikawal. Pergerakannya lambat dan boleh dirasakan sebagai sesuatu yang tidak perlu cepat atau tergesa-gesa. Dalam persembahan “outdoor showcase tersebut, saya menggunakan kedua-dua aliran ini. Aliran bebas digunakan semasa melakukan pergerakan simbolik kebebasan dari lambakan sampah sarap manakala aliran terikat digunakan sewaktu saya membuat pergerakan smbolik mengasingkan sampah sarap yang boleh dikitar semula.
ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 1
1.1 Jelaskan tentang kaedah pergerakan lokomotor dan pergerakan bukan lokomotor.
Pergerakan adalah sebarang bentuk gerak (movement) yang dilakukan oleh seseorang itu yang akan menyebabkan dia berubah kedudukan atau kekal di tempat tersebut. (Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009) Konsep pergerakan asas seperti lokomotor dan bukan lokomotor menjelaskan bagaimana kemahiran pergerakan boleh dilakukan.
Pergerakan lokomotor melibatkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dan menyebabkan perubahan kedudukan. Pergerakan lokomotor juga berkaitan dengan gerakan atau aliran. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor yang melibatkan arah (tinggi, sederhana, rendah), aliran (lurus, berliku-liku, dan zig-zag), beban (halus-ringan, berat-kuat) dan masa (cepat, lambat). Antara contoh-contoh pergerakan lokomotor adalah berjalan, berlari, gallop dan sebagainya.
Pergerakan bukan lokomotor pula adalah keupayaan menggerakkan bahagian tubuh badan tanpa beralih tempat. Pergerakan ini juga merupakan sebuah pergerakan dalam keadaan statik dan memberi penekanan kepada keseimbangan. Ia dapat membantu kita menjaga dan menjadikan bentuk badan yang menarik dan badan seharusnya berada dalam keadaan yang fleksibel dan seimbang. Gerakan dibuat dalam keadaan yang tenang dan kurang tekanan. (Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009) Contoh bagi pergerakan bukan lokomotor pula adalah meregang dan mengendur, melambung bola, melompat setempat dan sebagainya.
Permulaan semester ini..
Perjalanan diteruskan dengan kursus Pergerakan Kreatif Teater...jum sama2 kongsi maklumat yang diperolehi semester ini... =)
Subscribe to:
Posts (Atom)