Tuesday 28 May 2013

KERJA KURSUS 1.1


i)             Sila jelaskan apakah itu lakonan improvisasi dalam teater tradisional Melayu berasaskan pandangan Profesor Dr Samad Salleh dalam bukunya Aspek Lakonan dalam Teater Bangsawan terbitan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan KeKKWa Kuala Lumpur.

Di Malaysia, improvisasi di dalam teater telah lama diamalkan. Teater tradisional tempatan sememangnya kaya dengan improvisasi. Teater seperti Mak Yong, Menora, Mek Mulung dan Dondang Sayang kesemuanya berasaskan improvisasi disebabkan teater-teater tersebut tidak mempunyai sebarang skrip atau naskhah. Keadaan masyarakat dahulu yang terdiri daripada golongan buta huruf atau ketiadaan alat-alat percetakan memungkinkan berlakunya improvisasi di dalam teater tradisional.
             Menurut Kamus Dewan  edisi keempat, improvisasi bermaksud perihal atau perbuatan melaksanakan atau membuat sesuatu tanpa persediaan awal, secara spontan atau dengan menggunakan bahan-bahan yang ada sahaja. Walaubagaimanapun, Abdul Samat Salleh telah menghimpunkan beberapa definisi improvisasi menurut pengkaji-pengkaji teater Barat di dalam bukunya ‘Aspek Lakonan Dalam Teater Bangsawan’. Antaranya adalah seperti berikut :
            Pengertian improvisasi lebih mengutamakan penghasilan aksi secara spontan berdasarkan watak, tempat dan aksi. Definisi ini hampir menyamai apa yang disarankan oleh Bowskill. Baginya, improvisasi bermakna menggubah, membaca atau mengucap atau melakukan sesuatu tanpa persiapan. Perlakuan yang dihasilkan secara tiba-tiba, secara bebas dan bersahaja (Bowskill, 1973 : 59). Manakala Cohen (1984 : 68) pula mendefinisikan improvisasi  yang menjuruskan kepada mempertajamkan watak dan perwatakan. Beliau berpendapat, improvisasi merupakan latihan-latihan di mana para pelakon melakonkan peranan-peranan mereka mengimprovise dialog-dialog dan pergerakan tanpa bergantung kepada teks yang dihafal. Baginya latihan merupakan cara yang paling baik untuk menyerapkan pelakon dengan situasi adegan dan mempertingkatkan intensity pertalian perwatakan tanpa memperdulikan plot atau development watak yang dibekalkan oleh skrip. Crawford (1983 : 55) pula akur dengan definisi-definisi yang lain tetapi lebih mengutamakan daya imaginasi dan skrip. Improvisasi itu berimaginasi dan mencipta plot atau cerita yang ringkas dan melaksanakannya dengan dialog dan aksi-aksi yang tidak dirancang dan yang tidak rehearsed. Beliau menambah, improvisasi merupakan latihan-latihan berdasarkan adegan berskrip tetapi lebih tertumpu kepada subjeknya, isunya, tujuannya, dan maksud adegan tersebut di samping mengimaginasikan dan menciptakan aksi dan dialog dan cuba mengelak daripada menggunakan aksi-aksi dan dialog-dialog penulis.       
            Dengan ini, dapat disimpulkan bahawa improvisasi di dalam teater merupakan satu teknik atau bahan di mana pelakon akan memperkembangkannya melalui imaginasi mereka sendiri. Hasil daripada improvisasi akan menggalakkan penciptaan imej-imej baru di samping membolehkan para pelakon menzahirkan lakonan yang tidak terikat dengan rangka-rangka tertentu kerana lakonan ialah menjadikan sesuatu itu berlaku pada ketika atau detik yang sepatutnya berlaku.




 ii)            Berdasarkan kaedah lakonan improvisasi yang dinyatakan oleh Profesor Dr Samad Salleh, sila bincangkan teknik lakonan improvisasi ini dalam konteks persembahan Mak Yong yang telah anda langsungkan dalam persembahan.

Di dalam persembahan Mak Yong yang telah berlangsung pada 16 Mei yang lalu, kaedah lakonan improvisasi seperti yang dinyatakan oleh Profesor Dr Samad Salleh telah diaplikasikan. Kaedah improvisasa ini merangkumi kesemua aspek lakonan seperti fizikal, lisan dan mental. Aspek fizikal meliputi gerak isyarat, gerak tari (menhadap rebab) dan beberapa pergerakan lain yang dizahirkan oleh tubuh badan sepanjang lakonan. Aspek lisan pula merangkumi pengucapan dialog, nyanyian, bersyair dan monolog manakala aspek mental pula menjurus kepada setiap perlakuan yang dicetuskan sama ada fizikal, lisan atau emosi.
            Walaubagaimanapun, setiap improvisasi yang dilakukan itu bermula daripada jalan cerita yang dibekalkan oleh pengarah. Berdasarkan senario dan watak dan peranan yang dipegang, saya telah mengimprovisasikannya hingga ke akhir cerita dan sentiasa memastikan agar ia tidak bercanggah dengan jalan cerita serta peranan watak. Saya turut memastikan agar segala aksi fizikal haruslah bersebab dan berhubungkait dengan pengucapan dialog contohnya tindak balas pengucapan di antara saya dan pelakon lain. Hal ini akan membuatkan perkembangan cerita kelihatan lebih jelas.
            Selain itu, beberapa keperluan untuk melakukan teknik improvisasi perlu diambil kira di dalam persembahan ini. Antaranya ialah pengamatan, daya sensitiviti, daya konsentrasi dan imaginasi. Pengamatan yang teliti memudahkan saya memilih ciri-ciri perwatakan yang terbaik dan bersesuaian dengan watak, adegan dan cerita yang dibawa agar dapat meyakinkan penonton dengan improvisasi yang telah dilakukan. Daya sensitiviti yang paling optima pula diperlukan kerana  daya sensitiviti yang kuat mampu membantu saya berinteraksi atau memberi reaksi dengan cepat dan tepat terhadap pelbagai suasana di dalam cerita.
Imaginasi juga tidak kurang pentingnya sewaktu melakukan improvisasi agar saya dapat meneroka dunia ilusi yang dialami dalam jalan cerita, watak dan peranan yang telah diberikan. Dengan ini, saya dapat menzahirkan watak yang benar-benar meyakinkan dan berkesan walaupun melalui imaginasi sahaja. Keperluan seterusnya ialah daya konsentrasi terhadap keseluruhan cerita termasuk aksi dan pengucapan dialog oleh pelakon-pelakon lain. Konsentrasi yang menyeluruh membolehkan saya memberi tumpuan yang total terhadap watak saya seterusnya menjadikan saya peka dengan perkembangan jalan cerita.
Sepanjang penglibatan di dalam persembahan teater Mak Yong ini, saya turut melakukan improvisasi dalam penggunaan vokal iaitu semasa mengucapkan dialog. Saya harus cepat bertindak mengeluarkan kata-kata yang bertepatan dengan adegan, babak atau cerita menurut latar masa dan tempat yang telah ditetapkan. Contohnya, di dalam teater Mak Yong ‘Anak Raja Gondang’, latar tempatnya adalah istana dan kebanyakan gaya bahasa yang digunakan adalah bahasa istana yang puitis. Oleh itu, kecepatan berfikir, kepetahan berkata dan menyusun kata dapat memadatkan rangka cerita yang ada.
             





















No comments:

Post a Comment