Thursday 3 January 2013

ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 4


2.2 Bincangkan komponen-komponen yang telah disarankan oleh Joseph Gonzales dalam membina sesebuah koreografi dengan berpandukan tugasan secara solo dan duo yang telah anda laksanakan dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater yang lalu.

Dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater, saya telah melakukan dua persembahan iaitu persembahan berbentuk solo dan duo. Kedua-dua persembahan ini memerlukan pembinaan koreografi. Joseph Gonzales selaku koreografer tarian telah menyarankan proses penghasilan karya ini berdasarkan beberapa komponen seperti yang telah dibincangkan di atas iaitu dinamik, ruang, aras, bentuk tarian, tema, muzik, sinografi, impak artistik dan improvisasi.
Persembahan solo yang lalu bertemakan kisah seorang gadis kecil yang merasa sunyi dalam mengharungi kehidupannya. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan luahan perasaaan gadis tersebut. Bagi menyokong tema ini, pemilihan muzik, sinografi dan impak artistik hendaklah bersesuaian agar sebarang bentuk komunikasi dapat diterjemahkan dalam bentuk persembahan dengan tepat. Muzik yang digunakan adalah lagu Mirae nyanyian Kiroro manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan make-up yang menonjolkan impak mimik muka sedih dan kecewa. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan, kotak dan bantal peluk disokong dengan pencahayaan yang suram dan kostum baju tidur kanak-kanak telah menjelaskan identiti watak yang dibawa serta situasi yang sedang dialami bagi mengukuhkan penceritaan melalui pergerakan ini. Seperti biasa, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di dalam dan luar jaringan berbentuk segitiga serta di atas kotak manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berguling di luar jaringan segitiga, sederhana ketika bergerak di antara ruang jaringan segitiga dan tinggi sewaktu saya berdiri di atas kotak yang dijadikan set. Bentuk tari pula  melibatkan pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, berlari, berguling dan melompat secara berselang seli untuk menginterpretasi perasaan sunyi, kecewa dan rindu yang dialami supaya dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi.
Persembahan duo yang lalu adalah gabungan antara saya dan Siti Nur Ain. Persembahan ini bertemakan kehijauan alam yang kian hilang dek pencemaran serta lambakan sampah yang berlaku. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan pergelutan sepohon pokok dalam mencari udara segar bagi menerukan kehidupan di samping lambakan sampah yang semakin meningkat. Dalam persembahan duo ini, muzik yang digunakan adalah lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan kostum kami yang menggunakan plastik sampah, surat khabar, kain dan botol kosong. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan segi tiga, kotak, tangga serta lapisan plastik yang lebar dibantu oleh pencahayaan yang suram telah menjelaskan situasi serta mengukuhkan penceritaan yang ingin disampaikan. Selain itu, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di atas kotak, atas tangga serta di bawah lapisan plastik yang manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berada di bawah lapisan plastik sambil membuat pergerakan simbolik membuang sampah sarap, aras sederhana ketika bergerak menuruni tangga dari atas kotak ke lantai dan aras tinggi sewaktu saya berada di atas kotak yang dijadikan set persembahan. Memandangkan persembahan ini berbentuk duo, bentuk tari melibatkan interaksi antara saya dan Ain di mana pergerakan yang dilakukan adalah simbolik mengancam pokok yang dibawa olehnya sebagai props dalam persembahan ini. Pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, merangkak dan berguling turut digunakan untuk menginterpretasi ancaman dan kesan lambakan sampah terhadap hidupan selain dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi bagi persembahan duo ini.




ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 3


2.1 Jelaskan penciptaan asas koreografi pergerakan kreatif teater berdasarkan pendekatan yang disarankan oleh Joseph Gonzales dalam bukunya : Choreography : A Malaysia Perspective : (2004). Kuala Lumpur. Pustaka Cipta Sdn. Bhd.

Menurut Kamus Dwi-bahasa Oxford Fajar, Edisi Kedua : Halaman 65, perkataan Choreography bermaksud seni reka tari. Dengan ini, koreografi dapat diterjemahkan sebagai perancangan atau penciptaan bagi satu struktur pergerakan atau tarian.
Dr. Joseph Gonzales yang merupakan seorang koreografer dan penulis buku Choreography : A Malaysia Perspective telah menyatakan di dalam bukunya bahawa koreografi merupakan keseluruhan struktur karya yang akan dipersembahkan merangkumi frasa pergerakan dan semua faktor lain. Struktur karya ini juga adalah sesuatu yang boleh dianalisis dari jauh. Walaubagaimanapun, seorang koreografer perlu menitiberatkan sembilan elemen utama dalam sesebuah persembahan iaitu dinamik, ruang, aras, bentuk tarian, tema, muzik, sinografi, impak artistik dan improvisasi.
Dinamik merujuk kepada aliran tenaga dan pergerakan dalam koreografi tarian manakala aras akan membantu dalam melihat kepada binaan koreografi. Permainan ruang akan membantu dalam memperlihatkan kepelbagaian pola lantai serta mencipta dimensi dalam sesebuah koreografi. Bagi bentuk tarian pula, ia menggabungkan gaya dan teknik pergerakan dalam koreografi manakala tema dalam sebuah persembahan adalah berkisar tentang kemanusiaan, isu semasa, sejarah dan macam-macam lagi. Elemen muzik, sinografi dan impak artistik pula merupakan pendekatan pergerakan kreatif yang boleh menjelaskan simbolik pergerakan dalam menyampaikan interpretasi idea. Akhir sekali adalah improvisasi yang bermaksud penambahbaikan dimana melalui proses ini binaan koreografi boleh disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk.

Tuesday 1 January 2013

ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 2



1.2 Bincangkan elemen,elemen dari aspek ruang, masa dan aliran kedua-dua konsep pergerakan ini melalui gerak kreatif yang telah anda persembahkan dalam tugasan “outdoor” showcase yang telah anda langsungkan di Pintu Timur, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang lalu.

Tugasan “outdoor” showcase bagi kursus ini telah berlangsung di Pintu Timur, Universiti Pendidikan Sultan Idris. Persembahan gerak kreatif ini merupakan persembahan individu yang bertemakan protes tentang lambakan sampah sarap yang semakin menjadi-jadi pada masa kini. Mesej yang ingin disampaikan adalah supaya manusia sedar bahawa situasi seperti ini dapat dikurangkan andai mereka prihatin dengan kitar semula dan guna semula.
Di dalam persembahan ini, aspek pergerakan seperti ruang, masa dan aliran diterapkan (merujuk kepada analisis pergerakan Laban).  Ruang ialah kawasan yang digunakan semasa melakukan pergerakan. Ia terbahagi kepada dua iaitu ruang diri dan ruang am. Ruang diri ialah ruang setempat yang mengelilingi individu sejauh mana yang boleh dicapai oleh bahagian tubuh badan. Ruang am ialah kawasan yang digunakan secara keseluruhan semasa melakukan pergerakan. Semasa persembahan berlangsung, ruang am saya adalah sepanjang kaki lima berdekatan pondok pengawal dan ruang menunggu bas pelajar KHAR. Pergerakan yang dilakukan mencakupi elemen aras yang pelbagai iaitu rendah, sederhana dan tinggi serta aliran lurus dan bulatan sewaktu pergerakan simbolik memungut dan membawa karung sampah. Selain itu, pergerakan ke arah hadapan  dan ekstensi tubuh seperti mengecil dan membesar digunakan sebagai simbolik pemberontakan dan kebencian kepada sampah-sarap.
          Aspek masa merujuk kepada pergerakan yang boleh dilakukan dengan pelbagai kelajuan seperti cepat, lambat dan serta merta. Kelajuan sesuatu pergerakan ditentukan dengan keadaan ruang yang ada seperti ruang diri, ruang am dan ruang yang dilengkapi dengan alat-alat. Selain itu, jangka masa juga akan membantu dalam memberikan kesan dinamik dalam persembahan tari. Memandangkan persembahan yang dilakukan melibatkan jangkamasa yang agak lama iaitu 30 minit, kelajuan pergerakan yang banyak digunakan adalah pergerakan lambat. Namun pergerakan serta merta masih diselitkan bagi mewujudkan dinamik dalam persembahan ini.
        Aspek aliran merupakan beberapa pergerakan yang dirangkai dengan berturutan, berterusan dan licin. Rangkaian ini boleh dilakukan secara aliran bebas dan aliran terikat. Aliran bebas adalah pergerakan yang dilakukan dalam masa yang singkat. Pergerakan ini cepat, tegas, spontan dan dinamik manakala aliran terikat pula adalah pergerakan yang perlahan, mengambil masa dan dapat dikawal. Pergerakannya lambat dan boleh dirasakan sebagai sesuatu yang tidak perlu cepat atau tergesa-gesa. Dalam persembahan “outdoor showcase tersebut, saya menggunakan kedua-dua aliran ini. Aliran bebas digunakan semasa melakukan pergerakan simbolik kebebasan dari lambakan sampah sarap manakala aliran terikat digunakan sewaktu saya membuat pergerakan smbolik mengasingkan sampah sarap yang boleh dikitar semula.


ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 1



1.1 Jelaskan tentang kaedah pergerakan lokomotor dan pergerakan bukan lokomotor.

Pergerakan adalah sebarang bentuk gerak (movement) yang dilakukan oleh seseorang itu yang akan menyebabkan dia berubah kedudukan atau kekal di tempat tersebut. (Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009) Konsep pergerakan asas seperti lokomotor dan bukan lokomotor menjelaskan bagaimana kemahiran pergerakan boleh dilakukan.
       Pergerakan lokomotor melibatkan pergerakan dari satu tempat ke tempat yang lain dan menyebabkan perubahan kedudukan. Pergerakan lokomotor juga berkaitan dengan gerakan atau aliran. Jika pergerakan lokomotor digunakan dalam persembahan kita akan dapat melihat arah gerakan dalam persembahan itu. Terdapat pelbagai cara pergerakan badan dalam gerakan lokomotor yang melibatkan arah (tinggi, sederhana, rendah), aliran (lurus, berliku-liku, dan zig-zag), beban (halus-ringan, berat-kuat) dan masa (cepat, lambat). Antara contoh-contoh pergerakan lokomotor adalah berjalan, berlari, gallop dan sebagainya.
     Pergerakan bukan lokomotor pula adalah keupayaan menggerakkan bahagian tubuh badan tanpa beralih tempat. Pergerakan ini juga merupakan sebuah pergerakan dalam keadaan statik dan memberi penekanan kepada keseimbangan. Ia dapat membantu kita menjaga dan menjadikan bentuk badan yang menarik dan badan seharusnya berada dalam keadaan yang fleksibel dan seimbang. Gerakan dibuat dalam keadaan yang tenang dan kurang tekanan. (Haliza Hamzah dan Joy N. Samuel, 2009) Contoh bagi pergerakan bukan lokomotor pula adalah meregang dan mengendur, melambung bola, melompat setempat dan sebagainya.

Permulaan semester ini..

Perjalanan diteruskan dengan kursus Pergerakan Kreatif Teater...jum sama2 kongsi maklumat yang diperolehi semester ini... =)