Thursday 3 January 2013

ATP3033 Pergerakan Kreatif Teater 4


2.2 Bincangkan komponen-komponen yang telah disarankan oleh Joseph Gonzales dalam membina sesebuah koreografi dengan berpandukan tugasan secara solo dan duo yang telah anda laksanakan dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater yang lalu.

Dalam tugasan akhir persembahan pergerakan kreatif teater, saya telah melakukan dua persembahan iaitu persembahan berbentuk solo dan duo. Kedua-dua persembahan ini memerlukan pembinaan koreografi. Joseph Gonzales selaku koreografer tarian telah menyarankan proses penghasilan karya ini berdasarkan beberapa komponen seperti yang telah dibincangkan di atas iaitu dinamik, ruang, aras, bentuk tarian, tema, muzik, sinografi, impak artistik dan improvisasi.
Persembahan solo yang lalu bertemakan kisah seorang gadis kecil yang merasa sunyi dalam mengharungi kehidupannya. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan luahan perasaaan gadis tersebut. Bagi menyokong tema ini, pemilihan muzik, sinografi dan impak artistik hendaklah bersesuaian agar sebarang bentuk komunikasi dapat diterjemahkan dalam bentuk persembahan dengan tepat. Muzik yang digunakan adalah lagu Mirae nyanyian Kiroro manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan make-up yang menonjolkan impak mimik muka sedih dan kecewa. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan, kotak dan bantal peluk disokong dengan pencahayaan yang suram dan kostum baju tidur kanak-kanak telah menjelaskan identiti watak yang dibawa serta situasi yang sedang dialami bagi mengukuhkan penceritaan melalui pergerakan ini. Seperti biasa, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di dalam dan luar jaringan berbentuk segitiga serta di atas kotak manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berguling di luar jaringan segitiga, sederhana ketika bergerak di antara ruang jaringan segitiga dan tinggi sewaktu saya berdiri di atas kotak yang dijadikan set. Bentuk tari pula  melibatkan pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, berlari, berguling dan melompat secara berselang seli untuk menginterpretasi perasaan sunyi, kecewa dan rindu yang dialami supaya dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi.
Persembahan duo yang lalu adalah gabungan antara saya dan Siti Nur Ain. Persembahan ini bertemakan kehijauan alam yang kian hilang dek pencemaran serta lambakan sampah yang berlaku. Oleh itu, persembahan ini bertujuan menyampaikan pergelutan sepohon pokok dalam mencari udara segar bagi menerukan kehidupan di samping lambakan sampah yang semakin meningkat. Dalam persembahan duo ini, muzik yang digunakan adalah lagu Hijau nyanyian Zainal Abidin manakala impak artistik dapat dilihat pada penggunaan kostum kami yang menggunakan plastik sampah, surat khabar, kain dan botol kosong. Bagi sinografi pula, penggunaan set dan props seperti jaringan segi tiga, kotak, tangga serta lapisan plastik yang lebar dibantu oleh pencahayaan yang suram telah menjelaskan situasi serta mengukuhkan penceritaan yang ingin disampaikan. Selain itu, proses penghasilan koreografi pasti mengambil kira tentang ruang, aras, bentuk tari dan dinamik. Ruang yang digunakan dalam persembahan ini merangkumi ruang di atas kotak, atas tangga serta di bawah lapisan plastik yang manakala aras yang digunakan adalah rendah iaitu sewaktu berada di bawah lapisan plastik sambil membuat pergerakan simbolik membuang sampah sarap, aras sederhana ketika bergerak menuruni tangga dari atas kotak ke lantai dan aras tinggi sewaktu saya berada di atas kotak yang dijadikan set persembahan. Memandangkan persembahan ini berbentuk duo, bentuk tari melibatkan interaksi antara saya dan Ain di mana pergerakan yang dilakukan adalah simbolik mengancam pokok yang dibawa olehnya sebagai props dalam persembahan ini. Pergerakan seperti membuat beberapa gestur tubuh, merangkak dan berguling turut digunakan untuk menginterpretasi ancaman dan kesan lambakan sampah terhadap hidupan selain dapat membentuk dinamik dalam persembahan. Akhir sekali adalah improvisasi di mana bentuk-bentuk gerak sepanjang latihan dipilih lalu disusun dan digubah dalam pelbagai bentuk menjadi koreografi bagi persembahan duo ini.




No comments:

Post a Comment