Wednesday 29 May 2013

KERJA KURSUS 1.2


i)             Sila terangkan tentang kaedah lakonan Brechtian yang ditegaskan dalam teater epik.

Kaedah lakonan Brechtian dinamakan sebagai Epic Theatre kerana ia bersifat berepisod. Setiap babak akan memaparkan cerita yang berlainan, tetapi apabila digabungkan akan membentuk sebuah cerita. Selain nama Epic Theatre, kaedah lakonan Brechtian juga turut dikenali  sebagai Dialectic Theatre kerana dalam pementasan-pementasan yang beliau lakukan banyak memaparkan perbahasan antara dua pihak yang saling cuba untuk mempengaruhi antara satu sama lain.
Teater Epik bertujuan sebagai sebuah pementasan yang dijalankan untuk mempersembahakan idea-idea dan penonton harus menilai idea-idea tersebut. Oleh itu pementasan yang diadakan tidak boleh menyebabkan penonton hanyut dengan emosi yang dipaparkan dalam sebuah pementasan. Brecht menjelaskan bahawa para penonton perlu sedar bahawa mereka sedang menonton sebuah pementasan dan tidak boleh beremosi, sebaliknya berfikir secara kritikal akan mesej yang ingin disampaikan dalam pementasan itu dan melaksanakan perubahan apabila keluar dari pementasan tersebut. Menurut beliau, semua ini boleh dicapai sekiranya para penonton diasingkan daripada pementasan yang ditontonnya. Brecht telah menamakan keadaan ini sebagai Verfremdungseffekt yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai alienation effect ataupun kesan pengasingan.
Perkataan Verfremdungseffekt merupakan perkataan Jerman yang bermaksud ‘mengasingkan’ atau ‘menjauhkan’ penonton daripada sesebuah pementasan. Dalam teater epik , Brecht cuba mengasingkan penonton daripada watak-watak dan lakonan mereka dalam sesebuah pementasan. Dengan cara ini, para penonton tidak akan tersentuh dengan pementasan tersebut serta tidak bersimpati mahupun berempati dengan apa yang dipaparkan. Sebaliknya, beliau mahu para penonton untuk memahami secara intelektual dilema yang dihadapi oleh sesebuah watak serta kesilapan yang telah dibuat yang membawa kepada berlakunya  dilema  tersebut. 
                Bagi mencapai matlamat yang telah dinyatakan oleh Brecht, terdapat pelbagai lagi teknik yang digunakan supaya penonton terasing daripada pementasan. Di antaranya adalah dengan meletakkan sesi memberi keterangan di dalam sesuatu persembahan di samping wujudnya pencerita untuk menjelaskan setiap babak serta memprovokasi penonton. Selain itu, terdapat teknik yang memerlukan pelakon berinteraksi terus dengan penonton agar penonton terasing dari lakonan pelakon serta pementasan yang disaksikan. Terdapat juga teknik Brecht yang memerlukan para pelakon melakonkan sesebuah watak tanpa menyebabkan penonton mahupun diri mereka sendiri percaya bahawa mereka adalah watak tersebut. Tujuan utama lakonan sebegini adalah untuk meruntuhkan dinding keempat dalam sesebuah lakonan. Ini adalah bagi membolehkan penonton melihat dan menyedari bahawa mereka sedang menonton pementasan, bukan realiti dan menganggap bahawa pentas adalah pentas dan pelakon adalah sekadar pelakon.
            Dalam teater epik, Brecht turut menegaskan tentang istilah ‘gestus’. ‘Gestus’ bermaksud apa sahaja pergerakan yang dilakukan oleh pelakon di dalam lakonannya bagi menggambarkan keadaan sesebuah watak berdasarkan teks. ‘Gestus’ boleh menerangkan keadaan pelakon tanpa memerlukan pelakon menunjukkan emosi seterusnya menyebabkan penonton terasing daripada pementasan dan mengelakkan mereka daripada menjadi emosional. Pendapat ini adalah berdasarkan pemerhatian Brecht terhadap pementasan Opera Cina di mana pelakon meletakkan rambut di mulut dan penonton telah mentafsirkannya sebagai ketakutan walaupun pelakon itu sedang bergerak di dalam keadaan yang tenang.



ii)             Sila terangkan tentang kaedah lakonan Biomekanik yang ditegaskan oleh pengasasnya.

          Kaedah lakonan Biomekanik diasaskan oleh Vsevolod Meyerhold. Idea-idea pementasan beliau menolak realism Stanislavsky 100% dari segi lakonan, pengarahan dan sinografi. Idea grotesque yang dicadangkan oleh Meyerhold mengatakan bahawa seseorang pengarah itu melihat sesuatu yang aneh, pelik, bukan-bukan, tidak masuk akal itu sebagai sesuatu yang cantik kerana baginya, sesuatu persembahan pentas itu bukanlah re-presentational tetapi bersifat presentational. Meyerhold mengatakan bahawa sesuatu persembahan itu tidak perlu mengikut dan menyamai realiti kehidupan kini malah perlulah berbeza. Oleh itu, idea grotesque diadaptasikan ke seluruh idea yang dibuat oleh Stanislavsky sebelum ini.
Grotesque dalam bahasa Melayu bermaksud aneh, bukan-bukan atau tak masuk akal. Sebagai contoh yang lebih jelas adalah melihat kepada gerak lakonan yang lebih dikenali sebagai biomekanik. Pelakon-pelakon yang biasanya berlakon di bawah arahan Meyerhold adalah atlet, penari, ahli sarkas, ahli magik dan sebagainya. Mereka semua mempunyai skill dengan tubuh mereka dan Meyerhold telah memanipulasikan pergerakan tubuh mereka untuk mencipta satu bentuk gaya lakon yang menolak realism ketika itu. Oleh itu, kita tidak akan dapat melihat sesuatu watak yang mengaplikasikan teknik lakon Meyerhold bergerak seperti realiti. Pergerakannya akan nampak pelik tetapi aksi tersebut masih boleh ditafsir oleh penonton. Sebagai contoh, Charlie Chaplin adalah pelakon yang mengaplikasikan teknik lakon biomekanik. Katakan adegan Chaplin diketuk kepalanya dengan objek keras, dia akan terhuyung-hayang ke kiri dan ke kanan dalam pergerakan yang besar (exaggerate). Aksi ini dianggap ganjil (grotesque) bagi manusia nyata (real) tetapi dianggap sesuai dengan teknik lakon yang dikemukakan oleh Meyerhold.
(Antara adegan di dalam teater arahan Meyerhold. Dapat dilihat aksi pelakon yang menggunakan seluruh anggota badan untuk menjelaskan aksi dan watak)
Dari segi set pula, Meyerhold mula melakukan eksperimentasi terhadap visual-visual ketika itu. Oleh sebab zaman kegemilangan Meyerhold adalah pada zaman industrial, banyak pengaruh imej-imej kilang dan mesin di dalam persembahannya.

(set Magnanimous Cuckold yang sebenar. Kombinasi kepelikan set dan aksi lakon dapat dilihat dalam gambar ini. Semuanya dilihat pelik dan aneh bagi seorang realist)
Idea mengenai grotesque adalah kesan dari lawatan kawan Meyerhold dari Jepun yang membuat persembahan Kabuki di Rusia. Hanya selepas 7 tahun lawatan orang Jepun itu, barulah terciptanya teknik lakon yang pelik itu dan memerlukan kemahiran pergerakan tubuh badan. Teknik lakon itu sendiri sudah wujud tetapi dicetuskan oleh Meyerhold dengan terma biomekanik. Stanislavsky pernah berkata selepas dia menonton salah satu persembahan Meyerhold yang agak luar biasa pada ketika itu. Beliau berkata, “Meyerhold telah melakukan apa yang saya nak lakukan sebelum ini”. Teaternya dikira sebagai avant garde oleh kebanyakan penggiat teater ketika itu. Stanislavsky sendiri kagum serta berhasrat untuk melakukan teater seperti Meyerhold tetapi tidak berpeluang.
Grotesque diaplikasikan di dalam banyak persembahan teater di Malaysia terutama yang berbentuk eksperimen. Kebanyakannya diaplikasikan melalui sinografi tetapi kurang diaplikasikan melalui gaya lakonan. Untuk mendapatkan gambaran yang jelas tentang teknik lakon Meyerhold, lakonan Charlie Chaplin boleh dijadikan sebagai rujukan. Beliau merupakan salah seorang pelakon yang mengaplikasikan biomekanik, inspirasi dari grotesque. Pergerakan biomekanik membantu perkembangan kekuatan, koordinasi dan fleksibiliti. Mayerhold banyak menggunakan artis yang terdiri daripada ahli sukan kerana, latihan lakonan bukanlah berasaskan kaedah-kaedah lakonan sahaja malah memerlukan latihan bagi tubuh badan atau “teaching the body to think”.  Biomekanik juga merupakan lakonan yang menuntut pelakon menggunakan badan sebagai bahan pengantara dengan penonton. Penonton lebih menumpukan kepada pergerakan badan bagi menyampaikan mesej di dalam lakonan. Teater yang berunsur biomekanik mempunyai dialog yang kurang tetapi pelakon harus mempamerkan bahasa badan yang jelas kepada penonton.


  
iii)         Sila terangkan 2 teknik Stanislavski yang diperkenalkan dalam membina teknik lakonan secara representational atau living a part dalam konteks lakonan realisme.

Stanislavski berpendapat bahawa lakonan representational memerlukan dedikasi, kajian terperinci dan penilaian teliti terhadap pembinaan watak. Pelakon tidak harus berada di luar watak sebagai pemerhati tetapi harus berada di dalam watak dan merasai apa yang dirasainya, ketawa apabila dia ketawa dan menangis apabila dia menangis. Kemudian, apabila watak sudah dicipta, pelakon akan memisahkan dirinya dari watak tersebut dan setiap kali beliau diminta membawa watak itu, beliau akan mempamerkan perwatakan tersebut sebagaimana yang telah diciptakan sebelumnya.
Stanislavski tidak percaya bahawa seseorang aktor itu akan mempercayai seikhlas-ikhlasnya terhadap realiti peristiwa yang berlaku di atas pentas, tetapi beliau berkata bahawa seseorang aktor itu boleh percaya terhadap kemungkinan-kemungkinan peristiwa yang berlaku. Dengan ini, timbullah teknik magic if dalam membina lakonan secara representational. Seseorang pelakon cuma harus mencuba menjawab soalan “apakah akan aku lakukan kalau aku....?”. Sematan dijiwa pelakon dengan kata-kata magik “if” ini akan menjelaskan matlamat atau tujuan perwatakan kepada matlamat dan tujuan pelakon. Ianya merupakan rangsangan yang kuat ke arah aksi-aksi dalaman (emosi) dan fizikal bagi seseorang pelakon. Perkataan if juga membawa pelakon kepada keadaan-keadaan imaginary.
 Pertanyaan “Apakah yang akan aku lakukan kalau aku ……”(What would I do if I were)  bagi seseorang pelakon tidak perlu memaksa dirinya untuk percaya beliau adalah manusia tersebut di dalam situasi demikian. Ringkasnya, method “If” adalah saranan dan bukanlah melibatkan atau menegaskan sesuatu terhadap apa yang sedia ada. Melaluinya, pelakon akan mencipta masalah-masalah untuk dirinya dan berusaha untuk menyelesaikannya secara natural ke arah aksi-aksi dalaman dan luaran. Penggunaan method “if” ini akhirnya akan memberi rangsangan kepada imaginasi, pemikiran dan aksi-aksi ke arah logikal. Ini bermakna aksi-aksi yang dizahirkan bersifat natural berserta emosi yang sebenar.
            Teknik kedua yang diperkenalkan oleh Stanislavski adalah penggunaan method imaginasi. Menurut beliau, method imiginasi perlu dilaksanakan ekoran penulis skrip drama kurang memperjelaskan masa lalu dan masa depan watak-wataknya serta kurang memberi perincian kehidupan masa kini watak-watak tersebut. Method imaginasi ini mampu membantu seseorang pelakon melengkapkan biografi wataknya dari awal hingga akhir di dalam mindanya. Ini bermakna melalui latihan method imiginasi, seseorang pelakon dapat mengetahui atau merasakan  perkara yang dilalui oleh watak tersebut sehingga akhirnya memberikan pelakon perspektif dan perasaan berkaitan peranan watak tersebut.

 Imiginasi yang kaya akan membantu seseorang pelakon semasa beliau mentafsirkan baris-baris dialog dan mampu mengisinya dengan makna-makna yang tersirat atau lebih tepat memahami subteksnya. Apa yang disimpulkan disini, baris-baris dialog yang dihasilkan oleh penulis adalah tidak bernyawa dan kaku sehinggalah seseorang pelakon berupaya menganalisa dan menampilkan maksud yang dikehendaki oleh penulis. Sebagai contohnya, frasa yang mudah seperti, “saya sakit hati”, mempunyai berlainan maksud. Ringkasnya, sekiranya para pelakon mempraktikkan latihan daya imiginasinya, mereka akan menemui makna yang menarik di sebalik perkataan yang terucap. Lantas intonasinya juga akan menjadi lebih menarik dan ekspresif.

No comments:

Post a Comment