Thursday 14 June 2012

Alhamdulillah... =)

Bersyukur ke hadratNya kerana hasrat saya ingin berkongsi pengalaman menjalani kursus Seni Lakon Awalan sepanjang semester ini telah berjaya walaupun refleksi yang telah saya share tidak dapat dilakukan dari masa ke masa mengikut jadual sebenar kuliah. Saya berharap agar pengalaman ini sedikit sebanyak dapat memberi manfaat kepada anda di luar sana. ^___^

MALAM TEATER EXPERIMENTAL


Malam ini merupakan salah satu kenangan terindah buat saya kerana saya telah berjaya mempersembahkan sebuah teater monolog yang bertajuk Laut Lebih Indah Dari Bulan. Persembahan ini merupakan penilaian akhir bagi kursus Seni Lakon Awalan. Pengalaman membuat persembahan monolog di atas pentas dan ditonton hampir 50 orang penonton adalah sangat berharga bagi saya.
    Sewaktu melakukan persembahan, saya menggunakan semua pengetahuan yang telah diperolehi sepanjang kelas dan sesi latihan bersama pengarah supaya persembahan saya lebih berkualiti. Saya banyak menggunakan teknik gaya lakonan yang telah diajar seperti imaginasi, perkataan “magic if” , konsentrasi tumpuan dan hubungan emosi ataupun spiritual agar saya dapat menguasai emosi watak dengan lebih kuat. Selain itu, saya cuba untuk mengaplikasikan cara lontaran vokal yang baik agar penyampaian jalan cerita kepada penonton lebih jelas. Namun, saya berasa kurang berpuas hati dengan lontaran vokal yang dilakukan kerana ianya masih kurang baik dan kurang fleksibel.
    Walaubagaimanapun saya masih berpuas hati dengan lakonan saya pada malam itu memandangkan saya benar-benar dapat menjiwai watak sebagai Bulan yang merupakan seorang isteri kepada lelaki yang menghadapi tuduhan sebagai pembunuh.  Si isteri (Bulan) yang sangat setia dan percaya pada suaminya (Laut) itu sangat sukar untuk mempercayai kecurangan pasangannya, sehinggalah dia menemui bukti-bukti yang nyata. Saya dapat merasakan kesedihan dan kekecewaan yang dialami serta mampu memegang emosi tersebut sehingga ke penghujung pementasan yang seterusnya membuatkan saya menitiskan air mata di atas pentas. Bagi saya, ini merupakan pencapaian yang baik sepanjang saya berada dalam kursus Seni Lakon Awalan.
     Persembahan lain yang turut berlangsung pada malam itu juga tidak kurang hebatnya. Semua pelajar dapat melakukan persembahan dengan baik. Oleh itu saya berharap para penonton juga merasakan hal yang sama dan semua berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan terutama sekali penilai bagi kursus ini iaitu Encik Nor Shuradi Bin Haji Nor Hashim.

Perjumpaan Bersama Pengarah 4


Setelah perjumpaan untuk sesi kali ini, saya mendapati saya masih lemah dalam pengucapan dialog menggunakan tempo dan ritma yang sesuai. Saudari Amy mencadangkan agar saya menjalani latihan bacaan skrip secara sendiri dengan lebih kerap lagi bagi mengatasi masalah ini. Dengan ini, jalan cerita dan emosi dapat disampaikan dengan lebih tepat.

Perjumpaan Bersama Pengarah 3

Pada sesi kali ini, saya hanya melakukan latihan untuk babak satu berulang kali memandangkan babak ini menuntut saya untuk berlari sambil melafazkan skrip. Melalui sesi ini saya belajar untuk bernafas dengan cara yang betul, memberikan konsentrasi tumpuan hanya kepada emosi ketika babak ini berlangsung (gelisah) dan menyalurkan stamina hanya pada larian dan skrip dilafazkan dengan emosi yang sepatutnya. Menurut saya, ini merupakan babak yang mencabar kerana ianya di luar kebiasaan namun saya mengambilnya sebagai cabaran. Akhirnya saya mampu mengatasi kelemahan yang ada walaupun babak ini dilakonkan dalam keadaan yang belum sempurna pada sesi ini.

Perjumpaan Bersama Pengarah 2

Selepas perjumpaan bersama pengarah pada kali ini, saya dapat memahami dengan lebih jelas tentang tema, latar serta plot cerita. Saya juga mula faham akan kesinambungan antara babak-babak di dalam monolog Laut Lebih Indah Dari Bulan. Seterusnya saudari Amy mencadangkan kostum yang sesuai bagi menonjolkan watak Bulan sebagai seorang isteri yang dilanda tekanan serta props yang akan digunakan semasa pementasan untuk membantu saya agar jalan cerita akan kelihatan lebih jelas. Setelah perbincangan, kami sepakat untuk mewujudkan suasana yang tidak sarat tetapi mampu mempengaruhi emosi penonton.

Perjumpaan Bersama Pengarah 1

Selepas perjumpaan bersama pengarah kali ini, saya faham tentang  tugas seorang pelakon dalam memahami kehendak skrip, membina perwatakan yang bertepatan dengan tema cerita serta meyakinkan penonton dan penggunaan variasi suara dalam menggambarkan emosi dan situasi dalam skrip. Oleh itu, saya haruslah bekerja keras untuk menguasai teknik berlakon yang baik.

Perjumpaan Minggu 12

Setelah melakukan latihan menggunakan props di hadapan Encik Eddy, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang dikemukakan agar lakonan di atas pentas kelihatan lebih natural. Antaranya ialah, perubahan dalam gerak lakon serta penguasaan inspirasi bagi memantapkan lakonan serta mengelakkan saya kelihatan seperti berpura-pura sewaktu di atas pentas. Encik Eddy juga turut mencadangkan cara yang lebih baik untuk menggunakan props sewaktu berlakon (bussiness acting).

Perjumpaan minggu 11

Setelah melakukan run through di hadapan Encik Eddy, terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang dikemukakan untuk tujuan menjelaskan jalan cerita yang akan saya sampaikan dalam persembahan akhir nanti. Antaranya adalah, perubahan dalam frame, penggunaan ruang di atas pentas serta penambahan babak yang mengandungi konflik agar rentetan peristiwa kelihatan lebih jelas.

Kuliah Seni Lakon Awalan 8

Selepas kuliah pada kali ini, saya menyedari bahawa teori-teori yang telah dipelajari pada minggu kedua adalah sangat berguna bukan sahaja untuk persembahan penilaian akhir nanti malah untuk menyelesaikan kerja kursus bahagian 1. Seterusnya, setelah melakukan projection suara di panggung budaya, saya dapat merasakan kelemahan dan kekuatan setiap ruang bahagian pentas. Saya juga menyedari bahawa ruang lakon yang besar menuntut olah tubuh yang tidak terbatas dan suara yang bertenaga agar dapat memberikan kepuasan dan kefahaman penonton dalam menikmati pengucapan dialog-dialog melalui suara pelakon.

Kuliah Seni Lakon Awalan 6

Setelah mengadakan latihan bersama pengarah pada hari ini, saya mendapati kelemahan saya yang paling ketara dan harus diatasi adalah projection suara yang tidak konsisten serta stamina yang lemah memandangkan saya mudah kelihatan penat di pertengahan lakonan. Menurut saudari Amy, kelemahan ini dapat diatasi dengan melakukan latihan yang lebih kerap.

Kuliah Seni Lakon Awalan 5


Selepas kelas pada hari ini saya dapat menambah kefahaman tentang teknik pernafasan yang betul serta lontaran suara yang berkesan ketika di atas pentas agar dialog-dialog dapat sampai kepada penonton dengan jelas. Patahan, tempo dan ritma diberikan fokus. Kami diberikan latihan dengan menyebut perkataan-perkataan yang mempunyai bunyi yang hampir sama seperti  “Comel Cari Cili Celah Cerek” dan “Ku Kikis Kikis Kuku Kakiku, Kakakku Kata Kuku Kakiku Kaku” secara berulang-ulang.
Selain itu, saya juga lebih faham tentang cara menyalurkan emosi melalui ekspresi tubuh yang betul. Antara emosi yang diberikan oleh Encik Eddy dalam latihan adalah marah, sedih, kecewa dan gembira. Kami diberikan peluang bermain dengan emosi tersebut berulang-ulang sehingga kami memahami emosi tersebut dengan baik dan mampu memberi reaksi secara spontan.  
Sewaktu perbincangan dengan pengarah pula, saya masih menjalankan latihan yang sama iaitu membaca skrip dengan tempo dan ritma yang sesuai untuk babak seterusnya. Saya mendapati saya sudah mampu melakukan sedikit improvisasi apabila diminta oleh pengarah iaitu saudari Amy.

Kuliah Seni Lakon Awalan 4


Selepas kelas pada hari ini, saya berasa sangat berpuas hati kerana di samping aktiviti psikomotor yang dijalankan, saya turut mendapat input berguna tentang kepentingan ekspresi emosi dan stuktur tubuh yang baik bagi seorang pelakon ketika dalam pementasan.
Sebagai seorang pelakon, keupayaan dalam menguasai dan mendalami emosi watak adalah sangat penting kerana adalah menjadi tanggungjawab pelakon untuk membentuk spiritual seseorang watak. Dengan ini, pelakon boleh menunjukkan isi hati dan semangat sesuatu watak dengan lebih baik supaya lakonan menjadi lebih berkesan. Selain itu, saya turut faham bahawa pengendalian tubuh badan pelakon sewaktu di atas pentas adalah sangat penting. Ini disebabkan tubuh badan pelakon teater berperanan sebagai penyampai segala emosi, pemikiran dan aksi kepada penonton atau dengan erti kata lain segala bentuk lakonan akan ditransformasikan melalui tubuh badan pelakon.

Kuliah Seni Lakon Awalan 3

Melalui kelas pada hari ini, saya mendapati bahawa saya masih lemah dalam membina perwatakan di mana sewaktu membentangkan hasil observation terhadap seorang chef selebriti, saya masih belum mampu transform sebagai watak yang dipilih sepenuhnya. Encik Eddy menyarankan saya untuk belajar memiliki penerimaan rohaniah tentang tingkah laku manusia yang dilihat sehari-hari di sekeliling saya serta membangkitkan watak yang dilakonkan, bukanlah sekadar meniru sahaja.

Kuliah Seni Lakon Awalan 2

Selepas kelas hari ini, saya mendapati kelemahan saya dari segi konsentrasi tumpuan serta penguasaan inspirasi  di mana saya belum mampu menguasai emosi serta ciri-ciri watak model yang dipilih terutama dari segi fizikal dan psikologi. Memandangkan saya masih baru, Encik Eddy mencadangkan supaya saya menggunakan teknik perkataan magic if dan imaginasi bagi membantu saya membina perwatakan agar saya mampu berlakon dengan lebih natural.

Kuliah Seni Lakon Awalan 1


Selepas kuliah pada minggu ini, saya faham tentang banyak perkara yang berkaitan bidang lakonan teater. Antara tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam kuliah ini adalah sejarah dan peranan pelakon, keperluan lakonan teater, unsur-unsur serta konflik dalam drama, ciri-ciri dan kompetensi pelakon serta teori lakonan menurut Stanislavsky (1863-1923).
Saya mendapat pengetahuan baru tentang sejarah perkembangan teater yang bermula dari zaman masyarakat Mesir dan masyarakat Greece yang berasal dari ritual keagamaan sehingga ke lakonan moden yang menjurus ke arah hiburan. Selain itu, saya juga faham bahawa lakonan teater memerlukan tubuh badan yang akan menampilkan aksi, suara yang merupakan instrumen untuk menyampaikan dialog-dialog dan ruang lakon iaitu pentas. Pentas terbahagi kepada tiga bentuk iaitu proscenium (pentas berhadapan dengan penonton), arena pentas di tengah-tengah dan dikelilingi penonton dan trust ( berbentuk ladam kuda).
Berkenaan konflik drama, bahagian ini merupakan keunikan bagi sesebuah drama. Ini menunjukkan bahawa konflik dalam drama adalah sangat penting dan mampu menentukan kepuasan penonton terhadap drama yang dipersembahkan. Seorang pelakon juga harus mempunyai bakat dan kemahuan yang besar dalam hal lakonan kerana ini akan menentukan kompetensi pada seorang pelakon tersebut. Dengan ini juga, seorang pelakon mampu menterjemahkan jalan cerita melalui perwatakan yang menepati jalan cerita sama ada dari segi fisiologi, psikologi dan sosiologi.
Perkara yang paling penting yang saya pelajari pada kuliah kali ini adalah tahap jenis lakonan menurut Stanis iaitu lakonan eksploitatif yang tidak mengamalkan inner truth, lakonan lampau amatur yang disalurkan melalui koleksi-koleksi klise fizikal dan vokal yang dihayati secara samar-samar, lakonan mekanikal yang menggunakan aksi-aksi klise yang dipilih dan dikaji serta dipertajamkan sehingga mendapat kesan artistik dalam lakonan representational yang memerlukan dedikasi, kajian terperinci dan penilaian teliti terhadap pembinaan watak. Menurut stanis juga, terdapat beberapa teknik lakonan yang boleh digunakan bagi memantapkan lagi lakonan. Antaranya ialah perkataan magic if , situasi sedia ada (given circumstances), imaginasi, konsentrasi tumpuan ( berkaitan circle intension), kebenaran dan kepercayaan, hubungan emosi atau spiritual, tempo dan ritma serta memori recall. Kesemua teori ini bakal digunakan dalam penilaian akhir nanti.