Thursday 14 June 2012

MALAM TEATER EXPERIMENTAL


Malam ini merupakan salah satu kenangan terindah buat saya kerana saya telah berjaya mempersembahkan sebuah teater monolog yang bertajuk Laut Lebih Indah Dari Bulan. Persembahan ini merupakan penilaian akhir bagi kursus Seni Lakon Awalan. Pengalaman membuat persembahan monolog di atas pentas dan ditonton hampir 50 orang penonton adalah sangat berharga bagi saya.
    Sewaktu melakukan persembahan, saya menggunakan semua pengetahuan yang telah diperolehi sepanjang kelas dan sesi latihan bersama pengarah supaya persembahan saya lebih berkualiti. Saya banyak menggunakan teknik gaya lakonan yang telah diajar seperti imaginasi, perkataan “magic if” , konsentrasi tumpuan dan hubungan emosi ataupun spiritual agar saya dapat menguasai emosi watak dengan lebih kuat. Selain itu, saya cuba untuk mengaplikasikan cara lontaran vokal yang baik agar penyampaian jalan cerita kepada penonton lebih jelas. Namun, saya berasa kurang berpuas hati dengan lontaran vokal yang dilakukan kerana ianya masih kurang baik dan kurang fleksibel.
    Walaubagaimanapun saya masih berpuas hati dengan lakonan saya pada malam itu memandangkan saya benar-benar dapat menjiwai watak sebagai Bulan yang merupakan seorang isteri kepada lelaki yang menghadapi tuduhan sebagai pembunuh.  Si isteri (Bulan) yang sangat setia dan percaya pada suaminya (Laut) itu sangat sukar untuk mempercayai kecurangan pasangannya, sehinggalah dia menemui bukti-bukti yang nyata. Saya dapat merasakan kesedihan dan kekecewaan yang dialami serta mampu memegang emosi tersebut sehingga ke penghujung pementasan yang seterusnya membuatkan saya menitiskan air mata di atas pentas. Bagi saya, ini merupakan pencapaian yang baik sepanjang saya berada dalam kursus Seni Lakon Awalan.
     Persembahan lain yang turut berlangsung pada malam itu juga tidak kurang hebatnya. Semua pelajar dapat melakukan persembahan dengan baik. Oleh itu saya berharap para penonton juga merasakan hal yang sama dan semua berpuas hati dengan persembahan yang dilakukan terutama sekali penilai bagi kursus ini iaitu Encik Nor Shuradi Bin Haji Nor Hashim.

No comments:

Post a Comment