Thursday 14 June 2012

Kuliah Seni Lakon Awalan 1


Selepas kuliah pada minggu ini, saya faham tentang banyak perkara yang berkaitan bidang lakonan teater. Antara tajuk-tajuk yang dibincangkan dalam kuliah ini adalah sejarah dan peranan pelakon, keperluan lakonan teater, unsur-unsur serta konflik dalam drama, ciri-ciri dan kompetensi pelakon serta teori lakonan menurut Stanislavsky (1863-1923).
Saya mendapat pengetahuan baru tentang sejarah perkembangan teater yang bermula dari zaman masyarakat Mesir dan masyarakat Greece yang berasal dari ritual keagamaan sehingga ke lakonan moden yang menjurus ke arah hiburan. Selain itu, saya juga faham bahawa lakonan teater memerlukan tubuh badan yang akan menampilkan aksi, suara yang merupakan instrumen untuk menyampaikan dialog-dialog dan ruang lakon iaitu pentas. Pentas terbahagi kepada tiga bentuk iaitu proscenium (pentas berhadapan dengan penonton), arena pentas di tengah-tengah dan dikelilingi penonton dan trust ( berbentuk ladam kuda).
Berkenaan konflik drama, bahagian ini merupakan keunikan bagi sesebuah drama. Ini menunjukkan bahawa konflik dalam drama adalah sangat penting dan mampu menentukan kepuasan penonton terhadap drama yang dipersembahkan. Seorang pelakon juga harus mempunyai bakat dan kemahuan yang besar dalam hal lakonan kerana ini akan menentukan kompetensi pada seorang pelakon tersebut. Dengan ini juga, seorang pelakon mampu menterjemahkan jalan cerita melalui perwatakan yang menepati jalan cerita sama ada dari segi fisiologi, psikologi dan sosiologi.
Perkara yang paling penting yang saya pelajari pada kuliah kali ini adalah tahap jenis lakonan menurut Stanis iaitu lakonan eksploitatif yang tidak mengamalkan inner truth, lakonan lampau amatur yang disalurkan melalui koleksi-koleksi klise fizikal dan vokal yang dihayati secara samar-samar, lakonan mekanikal yang menggunakan aksi-aksi klise yang dipilih dan dikaji serta dipertajamkan sehingga mendapat kesan artistik dalam lakonan representational yang memerlukan dedikasi, kajian terperinci dan penilaian teliti terhadap pembinaan watak. Menurut stanis juga, terdapat beberapa teknik lakonan yang boleh digunakan bagi memantapkan lagi lakonan. Antaranya ialah perkataan magic if , situasi sedia ada (given circumstances), imaginasi, konsentrasi tumpuan ( berkaitan circle intension), kebenaran dan kepercayaan, hubungan emosi atau spiritual, tempo dan ritma serta memori recall. Kesemua teori ini bakal digunakan dalam penilaian akhir nanti.

No comments:

Post a Comment